Teks Pidato Diraja [2009] – Pendidikan Cemerlang Negara Terbilang

Posted: Mac 13, 2015 in Pidato
Tags: ,

Pendidikan Cemerlang Negara Terbilang

Teks Pidato Piala Diraja 2009
Pemidato : Mohamad Rosman bin Mohamad Razif (SBP Integrasi Kubang Pasu)
Penulis Teks : Cikgu Ariffin bin Salleh (SBP Integrasi Kubang Pasu)

[Pemidato memenangi tempat ketiga Pidato Piala Diraja Peringkat Negeri Kedah, 2009]

Bismillahirrahmanirrahim, Cetusan barakah buat peneraju acara, saf kehakiman intelektual berkarisma, seterusnya sidang hadirin warga dewan berwibawa. Assalamualaikum w.b.t. dan salam 1Malaysia.

Hadirin sekalian,

Semasa membentangkan belanjawan negara 2009, Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah menyatakan misi pentadbirannya untuk menggerakkan Malaysia ke arah yang lebih maju, bersatu padu, dan keadilan sosial dengan standard hidup yang tinggi untuk seluruh rakyat. Bagi mencapai hasrat murni tersebut, pihak kerajaan telah melancarkan Program Tranformasi Kerajaan yang mempunyai enam bidang keberhasilan utama negara atau NKRA. Aspek ketiga NKRA adalah untuk ‘mempertingkat pencapaian pelajar’. Persoalannya, mengapa pendidikan menjadi penting dalam mentransformasikan negara? Tidak lain tidak bukan, hal ini kerana pendidikan menjadi senjata paling ampuh dalam menjana mobiliti sosial rakyat. Bertitik tolak daripada kesedaran tersebut, maka saya berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan pada hari ini bagi menyampaikan sebuah pidato yang bermauduk ‘Pendidikan Cemerlang Negara Terbilang’.

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian,

Menurut Abdul Shukor Abdullah (1998), pendidikan cemerlang ialah pendidikan yang mencapai tahap terbaik, bermutu dan terunggul dalam semua bidang berkaitan dengan akademik, sahsiah dan kokurikulum. Sementara frasa “negara terbilang” boleh ditakrifkan sebagai negara yang dipimpin oleh pemimpin yang berwibawa dan mampu mencapai keseimbangan dalam segala aspek, termasuk ekonomi, sosial mahupun politik. Oleh yang demikian, “pendidikan cemerlang negara terbilang” boleh saya rumuskan sebagai pendidikan yang berkualiti dan bersepadu mampu melonjakkan negara  di mata dunia dalam aspek sosial, ekonomi dan politik.

Hadirin warga pendidikan sekalian,

            Ayuh kita mulakan rentak dengan gagasan bicara saya yang pertama: Pendidikan berintegriti negara dijulang. Integriti membawa maksud nilai kejujuran dan keperibadian yang luhur menjadikan negara dipandang hebat dan mulia oleh seantero dunia. Masyarakat pendidik yang memahami nilai – nilai kemanusiaan harus menjadi amalan bagi membentuk pendidikan cemerlang. Melalui pendidikan yang berintegriti, nilai-nilai kemanusiaan sejagat diterapkan. Maka melaluinya, rasuah dan jenayah kolar putih diterapkan keburukannya dalam minda pelajar. Amalan budi bahasa dan nilai murni sejagat diterapkan dengan penuh sedar. Walhasilnya, generasi yang dilahirkan menerusi sistem pendidikan yang berintegriti ini ialah generasi yang kental jiwanya, murni akhlaknya, sempurna pula mindanya. Saya bersyukur kerana dilahirkan di Malaysia yang menekankan aspek ini lewat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi tunjang pendidikan negara kita.  Hasil pendidikan yang berintegriti ini menyaksikan Ku Azhar Ku Abd Razak yang merupakan bekas tentera  berjaya menjadi antara usahawan yang berjaya. Beliau berjaya menubuhkan syarikat perusahaan feri terbesar Malaysia iaitu JMV Tradetech. Kejayaan syarikat beliau juga telah memperkenalkan destinasi menarik Malaysia seperti Langkawi di peringkat global. Contoh ini telah menunjukkan kepada kita bahawa pendidikan berintegriti menjulang nama negara di peringkat antarabangsa.

Sidang hadirin warga intelektual;

Beralih kepada rentas bicara saya yang kedua, “Pendidikan kreatif dan inovatif negara produktif”. Saban tahun kita melihat betapa besarnya peruntukan yang diagihkan oleh kerajaan terhadap institusi pendidikan dalam usaha untuk memantapkan lagi medan pendidikan negara seterusnya berjaya melahirkan modal insan yang bakal menerajui negara. Hal ini kerana, dalam dunia yang penuh cabaran ini, seseorang individu perlu mengolah sesuatu yang baru dan segar berdasarkan pengetahuan yang ada. Itulah domain yang ingin dibentuk dalam modal insan hari ini. Maka tidak hairanlah pada setiap tahun, Kementerian Pelajaran Malaysia telah membelanjakan jutaan ringgit bagi meningkatkan aspek kreativiti dan inovasi dalam dunia pendidikan. Selain pertandingan inovasi sains dan penulisan kreatif dalam kalangan pelajar, anugerah guru inovatif saban tahun diadakan. Hasilnya, apabila guru dan pelajar sama-sama menunjukkan kekreatifan dan inovatif, maka produktiviti negara akan meningkat. Lihat sahaja  Saudara Najmil Faiz Mohamed Aris, pelajar Ph.D dalam bidang Nano Technology di Universiti Metropolitan di Leeds yang sebelum ini mendapat perhatian media Malaysia kerana kejayaan beliau mengharumkan nama negara menerusi pembentangan tesisnya di Parlimen Britain pada tahun 2005. Insan yang kreatif dan inovatif inilah yang akan memacu kepesatan negara Malaysia agar berjaya mengharungi arus globalisasi yang melanda, seharusnya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara yang lain.

Sidang dewan warga kemasyarakatan,

Selanjutnya, kita beralih kepada mandala fikir saya yang ketiga : pendidikan berkualiti sosial sejahtera. Menurut Hussein Mahmood dalam bukunya “Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah”, pendidikan berkualiti ialah pendidikan yang berjaya menggabungjalinkan empat aspek utama Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek. Apabila keempat-empat aspek ini digabungkan, maka pendidikan akan berjaya melahirkan pelajar yang berjaya mengikut bakat dan potensi diri masing-masing. Dengan itu negara kita tidak akan ketandusan pekerja mahir, separa mahir dan profesional. Natijahnya, tiada lagi pengangguran dalam kalangan rakyat. Perkara ini terbukti melalui usaha kerajaan menubuhkan pelbagai institusi pendidikan daripada prasekolah hingga ke universiti, daripada institusi kemahiran asas sehingga ke kemahiran berimpak tinggi.. Hasilnya kita diberitakan pengangguran rakyat negara kita berada pada paras terendah di seluruh dunia, iaitu hanya sekitar 4% sahaja. Bukankah sudah terang lagi bersuluh, pendidikan berkualiti menjana kesejahteraan sosial?

Sidang hadirin warga budiman,

Saya ingin mengajak sidang dewan berfikir sejenak, bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya pendidikan kita abaikan. Apa yang akan terjadi kepada negara kita? Sudah pasti ekonomi negara kita ranap, masyarakat bertelagah sesama sendiri dan pentadbiran negara kucar-kacir. Walhasilnya saya menyeru kepada rakan-rakan dan sidang hadirin: marilah kita bersama-sama memperhebat pencapaian negara dengan bersungguh-sungguh dalam pelajaran kita. Jangan kita abaikan hasrat dan niat suci para pemimpin negara. Ingatlah, kejatuhan tamadun Melaka bukan sahaja oleh rakyatnya yang berpecah – belah, bahkan yang lebih utama, kerana rakyatnya lebih mengutamakan nafsu daripada pendidikan dan tuntutan minda. Jadi, adakah ingin kita lihat negara kita mundur dek pendidikan yang terabai? Tepuk dada, tanya selera!

Sekian terima kasih.

Komen-komen
  1. amarhafiziHajisaim berkata:

    amat membantu … teq

  2. nurul jannah berkata:

    nak guna ya..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s